Tuesday, May 4, 2010

Sahabat Ku Cari

Alangkah susah mencari kawan, susah dan senang senantiasa bersama. Adakalanya bagai meneguk air yang keruh di pinggir kali..sekadar melepas kering tekak.. sekadar keperluan, juga kemestian..bukanlah tuntutan atau sunnah.. Memilih teman untuk bersahabat, bukan pada rupa dan juga harta.. bukan juga pada keturunan dan taraf.. kerana itu semua tidak mampu diwarisi dari seorang teman.. sekadar bersahabat, sekadar berteman.. namun bukanlah sekadarnya..

Mencari teman, si penjual minyak wangi, sudah pasti lekat aroma harumannya.. Aku ingin berteman yang membuatkan aku berasa selesa dengan harumannya, yang membuatkan aku sentiasa gersang untuk bertemu, bersalaman dan berdakap dengannya.. Aku juga ingin dirinya menjadi cerminan peribadi ku.. melihatkan dirinya, aku kembali mengingati Allah.. melihatkan dirinya, aku terasa ingin memperbanyak ibadah dan doaku.. lantaran kealpaan ku ketika ketiadaannya..

Perlukah aku berteman dengan seorang yang buruk akhlaknya, yang rendah budinya, yang mulutnya penuh dusta, yang seringkali memperguna aku untuk kepentingan dirinya? aku bukan kain buruk untuk menutup segala keaiban temanku, kerana diriku sendiri tidak mampu menutup keaiban ku.. bagaimana mampu aku membersihkan kekotoran sedang diriku bergelumang dengan kekotoran.. Aku cuma perlu teman dan sahabat yang mampu membuatkan aku ketawa kerananya, yang mampu membuatkan aku menangis kerananya.. Kerana bersamanya aku tidak lagi mampu mendustai dirinya..

Kerana itu pada ku teman bukanlah sekadar berteman tapi mesra, tapi berteman lantaran ilmu dan akhlak yang mampu mencorak peribadi..

Tuesday, March 30, 2010

JiWa YanG MenDunG

Pening, serabut, celaru.. Huh, fikiranku kini terlalu bercampur-aduk.. Projek tahun akhir entah ke mana, laptop yang acapkali rosak.. Kadang-kadang ingin sahaja aku menghempas laptop ku, biar hancur berderai.. Benar kata orang, habis madu sepah dibuang.. bila sahaja tidak berguna, tidak lagi dipandang malah diperlekehkan.. Kena dekat batang hidung sendiri..

Aku seorang tentera.. Aku berbangga dengan uniform ku.. Aku berbangga dengan segala yang aku pinjam walau hanya sementara.. Tapi kekadang aku lupa segala-galanya bermula dari Allah.. Asal usul kejadian ku, hakikat terciptanya makhluk seperti aku.. Aku terbelenggu dengan tugasan, tanggungjawab, amanah yang kadang-kadang membuatkan aku tak pasti hala tuju ku, aku tak pasti perkara yang sepatutnya aku dahulukan atau kebelakangkan..

aku berlari tanpa hala tuju.. aku meraung bagai ibu kehilangan anak, seorang ibu yang meroyan.. jiwa aku parah, lambat diubati sehingga melarat sakitnya.. aku lelah kehausan.. maafkan aku kerana aku tidak mampu meluahkan kata-kata.. aku cuma ingin meluahkan rasa.. aku cuma ingin melepaskan emosi aku..

bermulanya di sini, aku meletakkan noktah perpisahan dengan jiwaku yang lara.. selamat tinggal penderitaan.. bergembiralah sayang.. dirimu tidak layak untuk berduka.. kerana dirimu cahaya kemenangan yang bersinar-sinar cahayanya..

Wednesday, March 17, 2010

LoroNg-Lorong iTu..

Destinasi itu pasti, lorong yang ku pilih itu menentukan secepat mana aku akan tiba di sana.. lorong yang aku pilih itu menentukan sejauh mana harusku melangkah.. lorong yang aku pilih itu menentukan liku-liku kehidupan yang akan aku tempuhi dan lorong yang aku pilih itu adakalanya penuh dengan onak dan duri.. adakalanya licin dan tiada halangan..

Di situ, terletaknya papan tanda yang pelbagai cabang.. Adakalanya aku terpaksa berhabis duit membayar tol-tol di sepanjang perjalanan.. Adakalanya aku terpaksa merempuh jalan yang berliku-liku, penuh cacat celanya.. Dilema menentukan lorong yang ingin aku lewati.. Masa atau jarak.. Murah atau mahal.. Mungkin masa itu emas, jadi perlu dibayar.. Kerana itu 'highway' ku lalui mahal bayarannya..

Ah, itu hanya persoalan duniawi.. Menjengah dunia ukhrowi.. Destinasi yang pasti.. Syurga neraka belum tentu.. Nasib, taqdir, usaha, doa dan tawakkal.. Umpama menempuhi cabaran ujian yang terlalu berat buat diriku..Apakah ingin ku lalui lorong yang menjadi kebiasaan insan lalui? Atau haruskah aku meredah lorong yang terlalu sedikit atau jarang orang-orang kebiasaan melewatinya?

Tiada yang mudah untuk aku menggapai awan.. Tiada yang mudah untuk aku lulus dengan cemerlangnya dalam peperiksaan.. Aku menjengah alam peperiksaan besar buat diriku.. Tempohnya, aku sendiri tidak tahu.. Aku hanya perlu kepada persediaan.. Aku hanya perlu kepada latihan yang berterusan agar aku sentiasa ingat dan tidak lupa.. Aku hanya perlu kepada bekalan, hanya pabila tiba masanya, bekalan-bekalan itu aku dapat gunakan..

Kerana itu, lorong yang sukar itu dan ganjil itu kadang-kadang penamatnya lebih indah daripada jangkaan.. dan mungkin lorong yang mudah itu, sebenarnya membuatkan aku lebih mudah tersesat kerana terlalu asyik..

Thursday, March 11, 2010

SeteGuh LalanG- LalaNg

Susah benar menjadi seorang yang insan yang beriman, selalu benar diuji dengan pelbagai ujian yang kekadang tidak mampu aku, seorang insan biasa merempuh onak dan duri dengan nafsu yang menodai. Bukan keperluan, juga kehendak, tapi gagal bermujahadah melawan nafsu yang meronta-ronta. Aku bersyukur seringkali diingatkan bahawa aku ialah hamba Allah. Aku seorang 'abidah, juga aku lahir dengan diamanahkan kepada ku untuk mengabdikan diri kepada Allah.
" Tidak Aku ciptakan manusia dan jin melainkan untuk beribadah kepada Ku."
Mungkin juga aku tertipu dengan pujuk rayu nafsu yang bergelora. Ah, aku tewas lagi. Apakah aku akan terus tewas lagi? Kerana lalang-lalang itu, ditiup ke kiri akan menunduk ke kiri, ditiup ke kanan, menunduk ke kanan. Apakah aku selemah itu, dalam mengaut untung dan keseronokan duniawi. Keseronokan duniawi yang membawa bahana ukhrowi.
Kerana lalang-lalang itu merosakkan pandangan, umpama kawasan tidak terjaga pabila ditumbuhi lalang-lalang. Apakah itu aku yang tidak terjaga seperti wanita-wanita jalanan, berpergian ke hulu hilir dengan ajnabi? Tidak. Itu bukan aku. Bukan juga menjadi idaman hati ku, kerana aku ingin berada dalam kelompok yang sedikit seperti bunga pakma. Sukar untuk didapati dan cukup terjaga kerana bimbang ia akan pupus.
Ruang hati ini tandus keimanan, aku kehausan. Pakaian ketaqwaan aku jarang, sehingga ternampak susuk tubuhku yang aku cuba untuk selindungkan. Kerakusan mengejar nikmat dunia yang zahirnya ku lihat, membuatkan pakaian ku kian carik. Pandangan hidayah terhijab dek hati ini disaluti hitam dosa-dosaku yang tidak pandai menjaga pandangan, yang tidak pandai menjaga mata, yang tidak pandai menjaga telinga.
Ya Allah, tetapkanlah hati ini sentiasa berada di landasan Mu, Ya Allah. Aku rindukan syurga di sisiMu ya Allah. Redhoilah segenap perbuatan ku, ya Allah.

Wednesday, January 27, 2010

IsLam Tak PerLukan Kita

teringat kata-kata senior dulu.. "Islam tak perlukan kita, kita perlukan Islam.." ke mana kita nak melangkah, tiada siapa yang ambil tahu.. baik buruk kita tanggung sendiri.. dosa pahala neraca menentukan kita ke syurga atau neraka.. pilihan dalam genggaman kita, kita yang perlu memilih jalan untuk mendapat pandangan di sisi Allah..
" aku masih belum bersedia untuk bertaubat.."
" tunggulah satu masa nanti, aku pakai tudung gak.."
"aku malu la, nanti orang kata aku baik sangat.."
" masih awal lagi, aku masih muda, zaman untuk aku berseronok.."
" aku sedar akan kesilapan aku, tapi ini sumber kewangan aku.."
" lelaki sedikit, wanita ramai, kalau aku lepaskan peluang bersama laki-laki ini, aku bimbang aku tidak akan dapat lelaki lain.."
macam-macam alasan kita dengar, mungkin juga itu adalah alasan yang kita berikan.. Belum bersedia untuk berubah ke arah kebaikan, mungkinkah kita memberi peluang kepada kekotoran untuk terus menjadikan hati kita bertambah gelap dan kotor sehingga makin susah untuk mendapat nur hidayah.. mungkin juga kita menunggu saat ajal menjemput, baru terkontang-kanting mengucap kalimah taubat.. mungkin juga kita tidak pernah hiraukan seksaan api neraka.. atau mungkin kita lupa dunia ini hanya sementara..
tunggulah satu masa untuk aku berubah? bila? tunggu ketika dunia ini dilanda bencana, bala dari Allah, darurat.. tunggu ketika matahari terbit dari barat.. atau ketika malaikat maut bagi amaran untuk mengambil nyawa aku dan kau.. usah tertunggu-tunggu, masa berlalu terlalu pantas.. hidup di dunia ini terlalu singkat.. ayuh sahabatku, kita melakukan anjakan paradigma, usah berada di takuk lama.. perhatikanlah, orang yang berniat untuk berhijrah, tetapi belum sempat tiba ke destinasi yang dituju, beliau meninggal dunia, beliau ditempatkan di dalam syurga, kerana beliau dalam perjalanan ke arah kebajikan.. mari bersama kita memulakan langkah ke fasa baru ke arah mengislahkan diri demi keredhoan Allah..
Aku malu, nanti orang kata aku ni baik sangat..
Imam alFadhil al'iyad, " Malu untuk melakukan kebaikan kerana manusia adalah riya', melakukan kebaikan kerana manusia adalah syirik, yang terselamat antara kedua-duanya adalah ikhlas.."
Kita acapkali malu untuk melakukan kebaikan, tetapi kenapa ye kita tidak berasa malu untuk melakukan kejahatan.. Dedah aurat sana sini, berpegang tangan dengan 'couple', berpelukan di khalayak ramai atau tersembunyi, pelik bin ajaib..tetapi kalau diajak ke majlis-majlis ilmu, malu untuk menampakkan kebaikan di khalayak ramai, susah benar nak memberikan kerusi untuk penumpang bas atau ktm yang lebih memerlukan, malu untuk berkhutbah apabila diberi peluang, kerana takut riya', kerana takut ujub, kononnya..
ya Allah berikanlah kami kekuatan untuk melakukan kebajikan dan kebaikan.. Ya Allah jauhkanlah kami dari segala yang mendatangkan kemurkaan Mu.. ya Allah, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau memberi hidayah kepada kami, dan berikanlah kami kurnia, sesungguhnya Engkaulah Maha Pemberi Kurnia.. Strive to mardhotillah.. Insya Allah

Sunday, January 10, 2010

Nur Hidayah

Menjaga anak perempuan ibarat menjaga lembu sekandang. Betapa sukar menjaga seorang anak perempuan, apatah lagi seorang ibu yang mendidik dan membesarkan sejumlah besar gadis yang meningkat dewasa. Pagi keluar kandang, petang dihambat masuk. Hidung ditindik, dibawa ke hulu ke hilir, semua tindakan terkawal dan terkongkong. Bebas dari kandang, sesat tidak tentu hala, satu kampung ibu bapa mencari.
Mungkin kerana itu seorang wanita mudah bosan. Umpama keluar dari rahim, terpina-pina melihat dunia luar. Segala bahan yang aneh dan janggal, semuanya cuba untuk dicapai, digenggam dan dirasa. Umpama seekor rama-rama, keluar dari kepompong, terkial-kial untuk terbang. Ke timur ke barat, rama-rama terbang mencari secebis makanan. Terkadang rama-rama itu tersalah haluan, sehingga memakan diri sendiri, terperangkap dan terbunuh. Kadang kala terseksa kerana kepaknya koyak rabak akibat kecuaian dan terleka.
Angkara terpenjara di dunia sendiri, kaki melangkah longlai tidak tentu hala, mencari hiburan, mencari keseronokan. Hiburan itu tidak salah selagi tidak menyebabkan hati terpaut dan terleka. Adakalanya hiburan itu menyeronokkan, adakalanya hiburan itu cukup menyesakkan dan menyakitkan. Keliru dengan hiburan, perkara yang sepatutnya menjadikan hati terhibur, tenang dan senang. Ternyata perbezaan idealogi , sikap dan naluri mempengaruhi corak-corak hiburan yang menyenangkan dan membahagiakan.
Kadangkala corak-corak hiburan cukup menyeronokkan tetapi tidak membahagiakan. Kebahagiaan bagi seorang mukmin adalah penjara bagi orang yang mencari kebahagiaan fana, begitulah sebaliknya seorang mukmin bermusafir mencari sinar haqiqi. Kadangkala ia tersadung tersangkut kaki di akar-akar pokok, kadangkala kaki terbenam di pasir jerlus, kadangkala ia lemas di lautan dalam tanpa berpaut, ditemui pengsan di beting pasir.
Kerana matahari bulan tampak bercahaya, kerana elektrik kipas meminggirkan haba, kerana pokok membebaskan oksigen, manusia bernafas segar dan nyaman. Kerana hidayah, manusia terleka kesal dan insaf akan kesalahan dan kealpaan masing-masing. Mungkinkah dalam tidak sedar, hidayah berada di mana-mana. Saat kaki hampir terjerat, seekor ayam melintas terjerat kesudahannya, saat hampir hanyut dibawa arus deras, datang seorang penyelamat memaut tangan menariknya ke tebing. Itulah hidayah. Hadirnya tanpa diduga, perginya cukup dirasai.

Tuesday, January 5, 2010

Sementaranya Hidup

Lihat pada diri tak layak untuk ku berkata-kata. Siapalah aku ini? Serba tak betul, banyak sahaja kekurangan. Malu dengan kelemahan aku, malu dengan apa adanya aku. Tapi aku sedar fitrah kejadian manusia yang sentiasa bersandar, sentiasa bergantung kepada Kholiq.

Memandang kepada manusia sekeliling menjadikan aku berfikir. Tambah-tambah orang seperti aku, produk 'sekolah agama' yang murah kualitinya. Namun, aku tetap bersyukur, sekurang-kurangnya aku mengerti hukum hakam walau selalu melewati batasannya. Aku tetap bersyukur, sekurang-kurangnya aku ada perasaan takut dan bimbang apabila aku melewati batasannya. Ya Allah, apakah Engkau masih sudi memandang diriku yang terlalu banyak terkandas dalam gelombang duniawi bertemankan nafsuku yang bergelora?

Sahabatku fillah,
Aku sedar apa yang membuatkan kau dan aku menjadi begini. Aku juga sedar bila aku tengok kawan-kawan seperjuangan aku mula meremehkan hukum hakam, tudung seciput sekadar hiasan, malah ada yang mendedahkan segala perhiasan di badan untuk tontonan kaum ajnabi , berzina, malah mungkin lebih dari itu. Segala-galanya membuatkan aku bertanya pada diri yang semakin hanyut terumbang-ambing dalam lautan bergelora.

Ya, aku kekadang bosan untuk terus begini, berpakaian muslimah, sedang kawan-kawan aku dapat mencuba kepelbagaian ragam baju. Kekadang aku malas. Alquran sekadar hiasan di kamar ku, lebih asyik aku membaca novel, komik, buku-buku akademik dari membaca alQuran yang membuatkan jiwaku bergetar ketakutan kerana banyaknya dosaku. Aku membaca pasal syurga, aku rindukan syurga yang aku begitu pasti keindahannya, tapi mengejarnya umpama mengejar bayang-bayang yang aku tidak mungkin berjaya mencapainya. Aku membaca pasal neraka. Aku menangis kerana aku terlalu takut untuk menghuninya.

Ikhwah fillah,
Kerana indahnya dunia, aku dan kau menikmati keseronokannya. Hinggakan aku dan kau tidak sedar akan tiba saat ajal menjemput kita. Setiap hari, pasti akan terpapar di dada akhbar kematian si polan dan si polanah. Keadaan mayat yang pelbagai. Tidak cukupkah itu sebagai peringatan buat kita yang sering terlupa. Mati.. Maut.. Ajal.. Tak cukupkah itu pendorong kita untuk mendirikan solat awal waktu, beristighfar siang dan malam, menutup aurat, menjauhkan diri dari zina, dan solat taubat.

Tidak perlu berlebih-lebih andai diri belum bersedia. Cukuplah sedikit, asal istiqomah. Aku juga suka menangguh-nangguh. Tunggulah malam tiba, baru aku akan solat taubat. Tibanya malam aku lena di pangkuan bantal pelukku. Mungkin itu juga diri mu, sahabatku. Mungkin aku dan kau menangguhkan saat ajal yang datang tidak menentu, dengan harapan aku dan kau mati dalam iman, kononnya. Impian tanpa perlaksanaan. Angan-angan kosong.

Aku sentiasa berdoa agar aku dan kau sentiasa memperoleh hidayah Allah. Mudahan hidup kita mendapat keredhoan Allah. Amin ya Robbal 'Alamin.

Sunday, January 3, 2010

teRciPtaNya..

WARDAH FIL HARB..
Mawar yang mekar di medan juang. Harumnya kian merebak di segenap lorong yang dilalui. Para mujahid terbuka langkah terus mara ke hadapan tanpa menoleh walau sedikit. Kerana di hadapan mereka, mawar itu kembang memaparkan serinya, tangkas menangkis musuh-musuh durjana, berperisaikan duri tebal, tajam yang pasti tertusuk di tubuh musuh-musuh yang tidak serik cuba merosakkan duri-durinya.
Pernah suatu ketika, mawar itu hilang serinya, layu, daun-daun mulai kekuningan, batangnya kian melepuh. Kumbang-kumbang bukannya pelaris kesuburan, tetapi lahap memakan daunan menghijau dan kelopak-kelopak bunga yang mencarak merahnya.
Di taman itu, benihnya bercambah. Tanah subur, baik salirannya. Hari demi hari, akar serabut mencengkam lembut tetapi teguh membuatkannya tegak berdiri. Helaian demi helaian kehijauan menjalari segenap tubuhnya, bunga mula berputik, kelihatan menghijau lantas kemerahan. Mengancam mata memandang. Duri-duri tebal perisai diri, lantaran ada sahaja makhluk-makhluk perosak yang meninjau-ninjau untuk menghampirinya. Namun, awas! Duri-duri itu mampu menyiat-nyiat kulit dan daging yang cuba menodainya.
Masa terus berlalu. Taman itu tidak seperti dulu. Taman itu, yang dahulunya subur, tanah dibajai, air membasahi. Pepohon semuanya subur, cantik dan harum. Pekebun taman itu telah pun pergi. Pepohon rindukan pekebun itu. Tanah kering kontang. Makhluk perosak bermaharaja lela. Pepohon menangis diperkosa sesuka hati. Rintihan, esakan kedengaran segenap penjuru. Hampir semuanya tidak terlepas. Kelopak mawar itu jatuh berguguran, durinya tidak tertegak lagi, bagai menanti masa tumbang ke Bumi.
"Umi, bunga Lily. Lily nak ambil, tanam kat rumah ye Umi?" Kedengaran suara memekik ke arah mawar itu. Umi mengangguk tersenyum. Banggakan anaknya yang cintakan alam ciptaan Tuhan. Mawar itu dicabut akarnya dari tanah. Aduh! Sedikit akarnya terbenam tertanggal dari badan. Mawar itu lemas, nyawa-nyawa ikan, tiada air untuk dimakan, tiada oksigen untuk bernafas. Lily kejam, daun-daun mawar itu dicarik-carik. Mawar itu menangis tiada henti. Menanti masa untuk pergi.
Di dalam pasu itu, dengan campuran tanah yang berlapis, mawar itu didirikan, disirami dan dibajai. Luka-luka lama kian pulih. Darah yang dahulunya memancut telah pun kering. Bagaikan telah dilahirkan semula. Mawar itu mulai bernafas segar. Daun-daun tumbuh menghijau, merah kelopaknya menarik mata sesiapa yang memandang. Haruman segar pasti membuatkan Lily terus selesa untuk bersamanya.
Kebahagiaannya kini membuatkan dirinya sentiasa bimbang akan rakan-rakannya di taman itu. Mawar itu sentiasa berdoa rakan-rakannya turut terselamat. Mawar itu tidak jemu memaparkan serinya dan harumnya buat Lily yang disangka kejam rupa-rupanya penyelamat. Mawar itu sentiasa menantikan kumbang pembiak, mengembangkan zuriatnya, agar zuriatnya terus menerus berkhidmat buat Lily dan menyerikan halaman rumahnya.
Mawar itu sentiasa berharap agar dapat terus bersama-sama Lily sepanjang hayatnya.