Tuesday, January 5, 2010

Sementaranya Hidup

Lihat pada diri tak layak untuk ku berkata-kata. Siapalah aku ini? Serba tak betul, banyak sahaja kekurangan. Malu dengan kelemahan aku, malu dengan apa adanya aku. Tapi aku sedar fitrah kejadian manusia yang sentiasa bersandar, sentiasa bergantung kepada Kholiq.

Memandang kepada manusia sekeliling menjadikan aku berfikir. Tambah-tambah orang seperti aku, produk 'sekolah agama' yang murah kualitinya. Namun, aku tetap bersyukur, sekurang-kurangnya aku mengerti hukum hakam walau selalu melewati batasannya. Aku tetap bersyukur, sekurang-kurangnya aku ada perasaan takut dan bimbang apabila aku melewati batasannya. Ya Allah, apakah Engkau masih sudi memandang diriku yang terlalu banyak terkandas dalam gelombang duniawi bertemankan nafsuku yang bergelora?

Sahabatku fillah,
Aku sedar apa yang membuatkan kau dan aku menjadi begini. Aku juga sedar bila aku tengok kawan-kawan seperjuangan aku mula meremehkan hukum hakam, tudung seciput sekadar hiasan, malah ada yang mendedahkan segala perhiasan di badan untuk tontonan kaum ajnabi , berzina, malah mungkin lebih dari itu. Segala-galanya membuatkan aku bertanya pada diri yang semakin hanyut terumbang-ambing dalam lautan bergelora.

Ya, aku kekadang bosan untuk terus begini, berpakaian muslimah, sedang kawan-kawan aku dapat mencuba kepelbagaian ragam baju. Kekadang aku malas. Alquran sekadar hiasan di kamar ku, lebih asyik aku membaca novel, komik, buku-buku akademik dari membaca alQuran yang membuatkan jiwaku bergetar ketakutan kerana banyaknya dosaku. Aku membaca pasal syurga, aku rindukan syurga yang aku begitu pasti keindahannya, tapi mengejarnya umpama mengejar bayang-bayang yang aku tidak mungkin berjaya mencapainya. Aku membaca pasal neraka. Aku menangis kerana aku terlalu takut untuk menghuninya.

Ikhwah fillah,
Kerana indahnya dunia, aku dan kau menikmati keseronokannya. Hinggakan aku dan kau tidak sedar akan tiba saat ajal menjemput kita. Setiap hari, pasti akan terpapar di dada akhbar kematian si polan dan si polanah. Keadaan mayat yang pelbagai. Tidak cukupkah itu sebagai peringatan buat kita yang sering terlupa. Mati.. Maut.. Ajal.. Tak cukupkah itu pendorong kita untuk mendirikan solat awal waktu, beristighfar siang dan malam, menutup aurat, menjauhkan diri dari zina, dan solat taubat.

Tidak perlu berlebih-lebih andai diri belum bersedia. Cukuplah sedikit, asal istiqomah. Aku juga suka menangguh-nangguh. Tunggulah malam tiba, baru aku akan solat taubat. Tibanya malam aku lena di pangkuan bantal pelukku. Mungkin itu juga diri mu, sahabatku. Mungkin aku dan kau menangguhkan saat ajal yang datang tidak menentu, dengan harapan aku dan kau mati dalam iman, kononnya. Impian tanpa perlaksanaan. Angan-angan kosong.

Aku sentiasa berdoa agar aku dan kau sentiasa memperoleh hidayah Allah. Mudahan hidup kita mendapat keredhoan Allah. Amin ya Robbal 'Alamin.

No comments: