WARDAH FIL HARB..
Mawar yang mekar di medan juang. Harumnya kian merebak di segenap lorong yang dilalui. Para mujahid terbuka langkah terus mara ke hadapan tanpa menoleh walau sedikit. Kerana di hadapan mereka, mawar itu kembang memaparkan serinya, tangkas menangkis musuh-musuh durjana, berperisaikan duri tebal, tajam yang pasti tertusuk di tubuh musuh-musuh yang tidak serik cuba merosakkan duri-durinya.
Pernah suatu ketika, mawar itu hilang serinya, layu, daun-daun mulai kekuningan, batangnya kian melepuh. Kumbang-kumbang bukannya pelaris kesuburan, tetapi lahap memakan daunan menghijau dan kelopak-kelopak bunga yang mencarak merahnya.
Di taman itu, benihnya bercambah. Tanah subur, baik salirannya. Hari demi hari, akar serabut mencengkam lembut tetapi teguh membuatkannya tegak berdiri. Helaian demi helaian kehijauan menjalari segenap tubuhnya, bunga mula berputik, kelihatan menghijau lantas kemerahan. Mengancam mata memandang. Duri-duri tebal perisai diri, lantaran ada sahaja makhluk-makhluk perosak yang meninjau-ninjau untuk menghampirinya. Namun, awas! Duri-duri itu mampu menyiat-nyiat kulit dan daging yang cuba menodainya.
Masa terus berlalu. Taman itu tidak seperti dulu. Taman itu, yang dahulunya subur, tanah dibajai, air membasahi. Pepohon semuanya subur, cantik dan harum. Pekebun taman itu telah pun pergi. Pepohon rindukan pekebun itu. Tanah kering kontang. Makhluk perosak bermaharaja lela. Pepohon menangis diperkosa sesuka hati. Rintihan, esakan kedengaran segenap penjuru. Hampir semuanya tidak terlepas. Kelopak mawar itu jatuh berguguran, durinya tidak tertegak lagi, bagai menanti masa tumbang ke Bumi.
"Umi, bunga Lily. Lily nak ambil, tanam kat rumah ye Umi?" Kedengaran suara memekik ke arah mawar itu. Umi mengangguk tersenyum. Banggakan anaknya yang cintakan alam ciptaan Tuhan. Mawar itu dicabut akarnya dari tanah. Aduh! Sedikit akarnya terbenam tertanggal dari badan. Mawar itu lemas, nyawa-nyawa ikan, tiada air untuk dimakan, tiada oksigen untuk bernafas. Lily kejam, daun-daun mawar itu dicarik-carik. Mawar itu menangis tiada henti. Menanti masa untuk pergi.
Di dalam pasu itu, dengan campuran tanah yang berlapis, mawar itu didirikan, disirami dan dibajai. Luka-luka lama kian pulih. Darah yang dahulunya memancut telah pun kering. Bagaikan telah dilahirkan semula. Mawar itu mulai bernafas segar. Daun-daun tumbuh menghijau, merah kelopaknya menarik mata sesiapa yang memandang. Haruman segar pasti membuatkan Lily terus selesa untuk bersamanya.
Kebahagiaannya kini membuatkan dirinya sentiasa bimbang akan rakan-rakannya di taman itu. Mawar itu sentiasa berdoa rakan-rakannya turut terselamat. Mawar itu tidak jemu memaparkan serinya dan harumnya buat Lily yang disangka kejam rupa-rupanya penyelamat. Mawar itu sentiasa menantikan kumbang pembiak, mengembangkan zuriatnya, agar zuriatnya terus menerus berkhidmat buat Lily dan menyerikan halaman rumahnya.
Mawar itu sentiasa berharap agar dapat terus bersama-sama Lily sepanjang hayatnya.

No comments:
Post a Comment