Sunday, January 10, 2010

Nur Hidayah

Menjaga anak perempuan ibarat menjaga lembu sekandang. Betapa sukar menjaga seorang anak perempuan, apatah lagi seorang ibu yang mendidik dan membesarkan sejumlah besar gadis yang meningkat dewasa. Pagi keluar kandang, petang dihambat masuk. Hidung ditindik, dibawa ke hulu ke hilir, semua tindakan terkawal dan terkongkong. Bebas dari kandang, sesat tidak tentu hala, satu kampung ibu bapa mencari.
Mungkin kerana itu seorang wanita mudah bosan. Umpama keluar dari rahim, terpina-pina melihat dunia luar. Segala bahan yang aneh dan janggal, semuanya cuba untuk dicapai, digenggam dan dirasa. Umpama seekor rama-rama, keluar dari kepompong, terkial-kial untuk terbang. Ke timur ke barat, rama-rama terbang mencari secebis makanan. Terkadang rama-rama itu tersalah haluan, sehingga memakan diri sendiri, terperangkap dan terbunuh. Kadang kala terseksa kerana kepaknya koyak rabak akibat kecuaian dan terleka.
Angkara terpenjara di dunia sendiri, kaki melangkah longlai tidak tentu hala, mencari hiburan, mencari keseronokan. Hiburan itu tidak salah selagi tidak menyebabkan hati terpaut dan terleka. Adakalanya hiburan itu menyeronokkan, adakalanya hiburan itu cukup menyesakkan dan menyakitkan. Keliru dengan hiburan, perkara yang sepatutnya menjadikan hati terhibur, tenang dan senang. Ternyata perbezaan idealogi , sikap dan naluri mempengaruhi corak-corak hiburan yang menyenangkan dan membahagiakan.
Kadangkala corak-corak hiburan cukup menyeronokkan tetapi tidak membahagiakan. Kebahagiaan bagi seorang mukmin adalah penjara bagi orang yang mencari kebahagiaan fana, begitulah sebaliknya seorang mukmin bermusafir mencari sinar haqiqi. Kadangkala ia tersadung tersangkut kaki di akar-akar pokok, kadangkala kaki terbenam di pasir jerlus, kadangkala ia lemas di lautan dalam tanpa berpaut, ditemui pengsan di beting pasir.
Kerana matahari bulan tampak bercahaya, kerana elektrik kipas meminggirkan haba, kerana pokok membebaskan oksigen, manusia bernafas segar dan nyaman. Kerana hidayah, manusia terleka kesal dan insaf akan kesalahan dan kealpaan masing-masing. Mungkinkah dalam tidak sedar, hidayah berada di mana-mana. Saat kaki hampir terjerat, seekor ayam melintas terjerat kesudahannya, saat hampir hanyut dibawa arus deras, datang seorang penyelamat memaut tangan menariknya ke tebing. Itulah hidayah. Hadirnya tanpa diduga, perginya cukup dirasai.

No comments: